NBD sambut Aidiladha pada 28 Mei





Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi





BERAKAS, Ahad, 17 Mei. - Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 1 Zulhijah 1447 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) jatuh pada Selasa, 19 Mei 2026 Masihi.


Hasil Merukyah Anak Bulan Zulhijah 1447H pada petang tadi diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri.


Sehubungan dengan itu, NBD akan menyambut Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1447H pada Khamis, 10 Zulhijah 1447H bersamaan 28 Mei 2026M.


Permakluman tersebut adalah daripada hasil persidangan mengenai keputusan merukyah anak bulan Zulhijah 1447H pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Persidangan yang diadakan di Bilik As'syura, Tingkat 1, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.


Persidangan dihadiri sama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Majlis Ugama Islam Brunei.


Pada tahun ini, lima buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Zulhijah 1447H, iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuhraya Tungku; Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampung Sabun, Pekan Muara; dan Bukit Agok, Jerudong.


Manakala bagi Daerah Tutong bertempat di Bangunan Hilal Bukit Ambog; dan bagi Daerah Belait ialah di Bangunan Hilal Bukit Lumut.


Sebelum persidangan, Acara Keagamaan bagi Menunggu Hasil Merukyah Anak Bulan Zulhijah 1447H juga diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, KHEU yang dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pelajar Tahun 11, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhammad Ishqal Ezairy @ Abdul Mateen bin Mohammad Shahruni.


Diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Imam Tingkat 2, Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Muhammad Jalalluddin bin Junaidi.


Seterusnya, bacaan Tahlil dan Doa Arwah serta Doa Peliharakan Sultan dan NBD dipimpin oleh Pengiran Haji Mohd. Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar/Mokti, Pegawai Pemantau Zon 4 Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU yang kemudiannya mengimamkan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.


Manakala Azan Maghrib dikumandangkan oleh Imam Tingkat IV, Masjid Sufri Bolkiah Perpindahan Berakas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Mohammad Aisamuddin @ Aliomar bin Alias.


Sehubungan dengan itu, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha bagi NBD akan diadakan pada Khamis, 10 Zulhijah 1447H bersamaan 28 Mei 2026M di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula pada pukul 7.30 pagi.

 

 

Close